Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Ayatullah Ja'far Subhani dalam majlis penutup Kongres Gerakan Ekstremisme Dan Takfiri Dalam Pandangan Islam berkata, "Sebahagian karya ditulis untuk menyokong kemunculan Takfiri. Kita juga mendengar ucapan pelampau yang semua ini cenderung ke arah Takfiri, yang mana para hadirin yang dihormati telah mengecamnya. Masing-masing percaya bahawa Allah (s.w.t) tidak reda dengannya. Para ulama fikah Islam juga mempunyai bukti tentang skema ini. Mereka percaya bahawa hanya mahkamah Syariah sahaja yang mampu mengklasifikasikan kekafiran seseorang individu."
Setelah itu beliau menyampaikan ucapan dalam bahasa Arab dengan menyatakan masalah Takfiri merupakan sebuah urusan yang dikecam sepenuhnya dalam Islam dan tidak bertepatan dengan segala kaedah Islam, "Takfiri merupakan sebuah musibah dan penyakit yang muncul dalam masyarakat Islam. Jadi apakah rawatannya?."
Ayatullah Subhani kemudian menceritakan beberapa perkara penting sebagai jalan penyelesaian krisis Takfiri iaitu tidak cukup dengan hanya menulis artikel dan mengeluarkan fatwa, "Kita perlu menyediakan plan-plan untuk mencabut akar umbi masalah ini; oleh itu saya mengusulkan kita sediakan segala cadangan-cadangan untuk menghadapi gerakan Takfiri."
Beliau juga menganggap tindakan menyedarkan masyarakat di negara-negara Islam melalui media dan minbar-minbar masjid tentang bahaya elemen-elemen Takfiri merupakan cadangan yang cukup mampan demi menghadapi masalah Takfiri, "Sekiranya terdapat kemungkaran dalam masyarakat, maka kita perlu berdiri menghadapinya. Hari ini pengkafiran ahli kiblat yang menunaikan ibadah solat dan haji tergolong dalam kemungkaran yang paling besar. Ini disebabkan kesan-kesan negatif kemungkaran ini ialah tindakan kejam ke atas saudara seagamanya sehingga tergamak membunuh. Padahal kejahatan hanya kita nisbahkan kepada rejim Zionie."
Beliau yang merupakan salah seorang guru terkenal di kota Qom berkata, promosi kebudayaan sebenar Islam merupakan cadangan kedua daripadanya, "Kebudayaan Islam ialah menyeru kepada perikemanusiaan dengan persaudaraan dan keharmonian di kalangan masyarakat Islam, tidak hanya di kalangan sesama Islam sahaja, bahkan seluruh lapisan masyarakat yang lain. Berasaskan kebudayaan ini, darah umat Islam adalah haram ditumpahkan. Namun fitnah Takfiri dan gerakannya telah menjatuhkan maruah Islam dengan kegiatan jenayah sehingga dikatakan Islam sebagai agama penghisap darah."
Ayatullah Subhani turut menerangkan beberapa langkah efektif lain dalam menangani kemelut pengganas, "Demi merealisasikan misi tersebut, persidangan seperti ini perlu diteruskan. Persidangan hendaklah tersemat di dalam hati individu, menjadi kehendak sanubari sehingga terjadinya interaksi antara ulama-ulama Islam. Kini terdapat ramai ulama yang datang dalam persidangan ini, setelah mereka pulang, mereka akan menceritakan perkara ini kepada penduduk setempat. Jawatankuasa ilmu yang terdiri daripada para peserta persidangan ini hendaklah menyediakan karya anti Takfiri di media-media negara masing-masing sehingga perkara ini sampai ke pengetahuan generasi dan masyarakatnya, termasuk menyediakan wacana-wacana kesesatan Takfiri di dalam media.
Dalam cadangan keempat, beliau berkata, "Tidak syak lagi, di kalangan umat Islam ada perselisihan pandangan dalam bidang fikah dan akidah, manakala setiap golongan ada dalil masing-masing. Namun sekiranya kita ingin mengenali sebuah mazhab, hendaklah kita melihat sumber-sumber asli yang dipegang mazhab tersebut iaitu penulisan yang disediakan oleh ulamanya. Salah satu argumen yang menjadi jurang pemisah ialah kita tidak melihat sumber asli mazhab tersebut."
Beliau melanjutkan ucapan dengan cadangan membetulkan pelajaran-pelajaran yang berbaur keganasan Takfiri, "Terdapat perkara-perkara yang berunsurkan fitnah di dalam buku-buku silibus pelajaran sekolah-sekolah di beberapa negara. Misalannya ada teks pelajaran di beberapa negara yang tertulis "Syirik orang terdahulu lebih kecil berbanding syirik orang di zaman ini", ada juga yang menulis "Tawassul kepada para Nabi adalah syirik". Kementerian dan pertubuhan yang berkaitan telah mengizinkan percatakan berbaur fitnah ini. Oleh itu generasi muda berada di bawah pengaruh ini. Akibatnya pengganas terbentuk dengan sendirinya."
Ayatullah Subhani mendedahkan akar umbi Takfiri yang berpunca dari kesilapan iman, kufur, tauhid, syirik dan bid'ah. Beliau berkata, "Kegiatan ini perlu diambil perhatian. Ini disebabkan para pemimpin gerakan Takfiri memperalatkan ayat tersebut ke atas ahli kiblat."
Di akhir ucapan, Ayatullah Ja'far Subhani berkata, "Antara kejutan di zaman kita ialah menteri-menteri di negara Barat telah beribu-ribu kali mengecam keganasan di sebuah negara di samping menganggapnya sebagai kegiatan itu sebagai peranan yang dimainkan agama Islam. Namun dalam masa yang sama mereka juga turut menyokong keganasan di negara lain!."
"Kepada Allah (s.w.t) jua kita memohon agar anda semua peserta yang mengikuti kongres ini selamat dan sejahtera sedangkan Allah Maha Mengetahui niat kita," tutur beliau di akhir ucapan.
Kongres Gerakan Ekstremisme Dan Takfiri Dalam Pandangan Ulama Islam telah dianjurkan selama dua hari di kota Qom pada 23 dan 24 November lalu oleh Ayatullah Makarim Syirazi dan Ayatullah Ja'far Subhani dengan kerjasama pertubuhan Majma' Jahani Ahlul Bait, Jamiatul Mustafa al-Alamiyah dan lain-lain lagi dengan tujuan membongkar akar umbi krisis Takfiri serta mencari jalan penyelesaiannya.
Liputan Berita Kongres Antarabangsa Gerakan Ekstremisme Dan Takfiri Dalam Pandangan Ulama Islam.